Monday, December 1, 2008

Prestasi Kakitangan Awam Kian Merosot

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Anugerah Khidmat Cemerlang tidak perlu lagi diadakan di mana-mana agensi dan jabatan kerajaan jika benar kualiti perkhidmatan penjawat awam kini semakin merosot, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.

Beliau berkata anugerah yang diadakan setiap tahun itu menunjukkan kakitangan awam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sehingga melayakkan mereka menerima anugerah.

"Setiap jabatan menghantar laporan kepada kerajaan. Kita lihat laporan prestasi adalah baik dan cemerlang. Tetapi kalau benar-benar merosot, tidak perlu adakan anugerah khidmat cemerlang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Semalam Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata kualiti perkhidmatan awam kian merosot kerana Biro Pengaduan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam menerima 6,059 aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan awam, sehingga September lepas.

Pada tahun lepas biro itu menerima 5,347 aduan, tahun 2006 (3,397 aduan), manakala 2,707 aduan dilapor pada tahun 2005 dan ia dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Antara aduan yang sering dikemuka ialah kelewatan, tiada tindakan oleh pegawai, keputusan yang dianggap tidak adil, perkhidmatan tidak berkualiti, salah guna kuasa, penyelewengan, salah laku dan kegagalan penguatkuasaan.

Omar berkata beliau juga mahukan laporan terperinci mengenai aduan itu sama ada ia mewakili semua jabatan dan agensi kerajaan atau melibatkan kumpulan tertentu sahaja dalam perkhidmatan awam.

"Kalau betul merosot, kena lapor secara terperinci. Ini perlu dimaklumkan juga kepada pekerja supaya mereka boleh memperbaiki diri," katanya.

Sehubungan itu Omar meminta jabatan kerajaan menganjurkan seminar, perjumpaan bulanan dan mengarahkan pekerja patuh kepada akur janji yang dibuat semasa mula berkhidmat.

Beliau berkata kakitangan awam harus membuat perubahan untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan sebarang kesulitan atau aduan perlu diselesaikan secepat mungkin.

No comments: