Monday, July 13, 2009

Pak Gad UM Nak Jadi Polis Pula

Biarpun Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) dipinda tahun lepas, tindakan polis menahan dua orang aktivis mahasiswa di dalam kampus Universiti Malaya(UM) serta mereman mereka selama dua hari atas alasan “mencerobohi kampus” memperlihatkan ruang demokrasi kampus yang lagi menguncup di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru.

Kedua-dua mereka, Ong Jing Cheng dan Yap Heng Lung telah ditahan di Balai Polis Lembah Pantai semalam di bawah Kanun Keseksaaan 447 kononnya mencerobohi kawasan Universiti Malaya.

Kes ini adalah kes kedua pihak polis melakukan tangkapan ke atas mahasiswa dalam 100 hari pertama Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Kejadian ini memperlihatkan hak mahasiswa dan autonomi kampus bukan sahaja belum dikembalikan meskipun AUKU telah dipinda, sebaliknya polis dibenarkan “mencoboh” masuk ke dalam ruang autonomi kampus serta melakukan tangkapan sewenang-wenangnya. UM tidak lagi selamat!

Pegawai keselamatan UM tidak sewajarnya menghalang pergerakan kedua-dua mereka itu kerana UM seperti institusi pengajian tinggi awam yang lain, merupakan tempat awam yang diwujudkan atas dana awam dan terbuka kepada masyarakat umum, bukannya milikan swasta.

Pegawai keselamatan juga tidak patut bertindak seperti polis malah menyerahkan kedua-dua orang aktivis mahasiswa tersebut kepada pihak polis hanya sekadar kerana mereka memiliki risalah kempen “Street Safe” yang menggalakkan keselamatan persekitaran.

Persoalannya: apakah salahnya seseorang itu memasuki kawasan kampus walaupun bukan penuntut universiti tersebut? Apakah kuasa pegawai keselamatan universiti sehingga boleh melakukan tangkapan ke atas seseorang?

Kami menggesa Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyatakan pendirian beliau dalam isu ini memandangkan tindakan polis bercanggahan dengan konsep kuasa autonomi universiti yang pernah diwar-warkan oleh beliau sendiri semasa pindaan AUKU.

No comments: