Maksud 'negara polis'
Apakah yang dimaksudkan dengan negara polis? Secara mudahnya negara polis dapat diertikan sebagai sebuah negara yang terlalu menitikberatkan persoalan keselamatan dalam perjalanan pentadbirannya. Konsep keselamatan yang difahami oleh negara adalah terlalu menyeluruh dan inklusif; ianya terlalu menyeluruh sehinggakan keselamatan negara tidak dapat dipisahkan dari kestabilan politik. Lebih teruk keselamatan dikaitkan secara langsung dengan kelangsungan politik parti yang memerintah dan dalam kes Malaysia kelangsungan atau survival politik UMNO/BN.
Kelangsungan parti pemerintah dipastikan dengan terlantiknya pegawai Cawangan Khas (SB) yang begitu ramai dalam perkhidmatan polis. Mengikut Saudara Saari Sungip yang banyak menulis tentang SB menganggarkan terdapat sekitar 20,000 hingga 30,000 SB di Malaysia dan angka ini merupa 1/3 dari jawatan dalam perkhidmatan polis. SB-SB ini bergerak secara rahsia, terdiri dari pelbagai jantina dan kepakaran, memantau pergerakan individu dan kumpulan yang dianggap boleh membawa masalah keselamatan.
Pemantauan mereka begitu terperinci: tempat yang selalu dikunjungi oleh individu/kumpulan yang dimaksudkan, bahan bacaan yang dibaca, program televisyen yang diminati, laman web yang dilawati, surat-menyurat juga dipantau, perbualan telefon termasuk telefon bimbit dirakam, e-mail dan SMS dipantau. Malah secara umumnya tingkah-laku, cara hidup dan cara berfikir individu dipantau. Kadang-kadang saya terfikir, apa yang dibuat oleh individu berkenaan dalam tandas pun dipantau!
Menceroboh 'privacy'
Lebih malang di Malaysia tiada Akta-akta yang menghalang mana-mana individu, kumpulan, malah pihak kerajaan pun dari menceroboh 'privacy' atau kerahsiaan hidup individu lain. Lebih malang lagi perlantikan SB-SB ini tidak begitu terikat dengan peraturan perkhidmatan biasa yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mereka mempunyai autonomi yang tersendiri yang agak luas.
Kita tidak musykil sekira pemantauan yang dibuat adalah secara khususnya mengenai keselamatan negara seperti dalam kes pergerakan al-Maunah. Perlu dibeza antara keselamatan negara dengan keselamatan parti politik yang memerintah. Kalau pun nak sokong parti politik yang memerintah, pastikan kepimpinan yang terbaik yang memerintah negara, bukan yang bersedia untuk menjual maruah negara misalnya.
Betapa dominannya aspek keselamatan dalam negara diburukkan lagi dengan wujudnya pelbagai Akta yang mengikat kebebasan asasi warganegara. Hak untuk bersuara, hak untuk berpersatuan, hak untuk berdemonstrasi secara aman. Hak untuk bersuara di kalangan ahli akademik dan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi misalnya telah begitu terhakis dengan wujudnya AUKU dan Akujanji. Maka tidak wujud pemikiran yang kritis dan kreatif di kalangan pensyarah dan pelajar.
Idea objektif lwn budaya bodek
Pengalaman saya mengajar di salah satu IPTA selama 31 tahun membenarkan hakikat ini. Idea yang objektif yang dikemukakan oleh ahli akademik ditafsirkan oleh pihak pemerintah sebagai anti-kerajaan, maka ramailah para pensyarah mengambil pendekatan membodek kerajaan untuk tujuan kenaikan pangkat dan pelbagai kemudahan lain. Dasar-dasar kerajaan tidak boleh dikritik, seolah-olah dasar-dasar kerajaan tersebut bersifat sakral (sacred) atau kudus!
Ini adalah sesuatu yang mustahil kerana dasar-dasar ini digubal oleh manusia yang mempunyai kelemahan-kelemahan yang tersendiri kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Sempurna. Ini bermakna dalam konteks kebebasan bersuara, kerajaan BN masih tidak membenarkan pandangan yang berbeza dan hak untuk tidak bersetuju (Right of Dissent). Adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan manusia untuk berbeza pendapat tentang pelbagai perkara. Peribahasa Melayu mengatakan rambut sama hitam, hati lain-lain. Rasullullah (saw) pernah bersabda perbezaan yang wujud di kalangan ummatku adalah merupakan satu rahmat. Bersetuju untuk tidak bersetuju perlu dilihat sebagai sesuatu yang natural.
Sekiranya kerajaan yakin bahawa ia berada di pihak yang benar maka pertahankanlah kebenaran ini dengan fakta dan hujah yang menyakinkan, secara terbuka dan secara berlapang dada. Bukankah budaya Melayu bersandarkan kepada prinsip berani kerana benar dan takut kerana salah? Besar kemungkinan inilah saja yang dipohonkan oleh Dr. Mahathir, sungguhpun satu ketika dahulu beliau juga tidak dapat elak, sebagai manusia biasa dan bukan Allah, melakukan beberapa kesilapan.
Wujudnya prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju atau Right of Dissent adalah merupakan satu kayu pengukur terpenting matangnya sesebuah sistem demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.
Mata dan telinga kerajaan
Betapa dominannya aspek keselamatan dalam politik Malaysia dapat dilihat dari hakikat terdapat agensi dan institusi lain selain SB yang menjadi mata dan telinga kerajaan. Kementerian Penerangan dengan Pegawai Penerangan Khas (biasanya lantikan politik), Pegawai Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Unit Risikan dalam tentera atau dikenali sebagai MIOs (Military Intelligent Officers), Bahagian Keselamatan, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain.
Dari segi pentadbiran biasa terdapat di peringkat Pusat beberapa jawatankuasa mengenai keselamatan negara yang biasanya dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Struktur ini seterusnya turun ke negeri-negeri dipengerusikan oleh Menteri-menteri Besar, ke daerah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan akhir turun ke kampung-kampung dalam bentuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).
Kesediaan kerajaan untuk mengekalkan perkataan keselamatan dalam struktur JKKK sungguhpun ancaman keselamatan terbesar negara seperti pergerakan Komunis telahpun tiada menunjukkan betapa aspek keselamatan adalah menjadi sebahagian yang tidak terpisah dari dasar pentadbiran negara.
Mempolitikkan pentadbiran
Akibat dari terlalu menekankan aspek keselamatan dalam sistem politik dan pentadbiran negara ia sekaligus terdedah kepada mempolitikkan pentadbiran (politicization of administration). Pengawai tadbir yang memegang jawatan penting dipastikan orang yang pro-UMNO atau pro-BN. Pegawai yang berkecuali (sekaligus ditafsir sebagai propembangkang) dinafikan pelbagai kemudahan seperti tidak dinaikkan pangkat sungguhpun ia layak.
Mempolitikkan pentadbiran ini dijalankan bagi menjamin kelangsungan hayat UMNO/BN. Kesan negatif dari pendekatan ini adalah kaburnya sempadan yang memisah parti dan kerajaan dalam erti kata pada pandangan parti yang memerintah adalah sinonim dengan kerajaan yang memerintah. Ianya boleh diterima dari sudut ilmu sains politik sekiranya dikatakan parti yang memerintah adalah sinonim dengan kabinet yang memerintah.
Kabinet yang mentadbir negara terdiri dari parti-parti komponen BN tetapi kerajaan yang memerintah atau dalam bahasa yang berbeza tetapi maknanya sama - parlimen, terdiri dari bukan sahaja parti-parti BN tetapi juga pembangkang. Ini adalah ilmu sains politik yang paling asas yang diajar kepada pelajar-pelajar tahun pertama di universiti yang mengambil kursus pengantar sains politik. Nampaknya wakil-wakil rakyat BN lebih teruk dari pelajar tahun pertama universiti.
Kekeliruan yang timbul menyebabkan projek-projek pembangunan dilabel sebagai Ini satu lagi projek Barisan Nasional! Seolah-olah cukai negara dipungut dari penyokong-penyokong BN sahaja dan penyokong-penyokong pembangkang terlepas dari membayarnya.
Disebabkan UMNO/BN begitu lama memerintah negara dan sistem politik dan pentadbiran negara telah dilenturkan mengikut acuan dan selera UMNO/BN dengan memanipulasi sistem yang ada (dalam kes pilihan raya melalui SPR),maka sistem parti politik dan seterusnya sistem politik Malaysia dikenali dengan sistem parti dominan (dominant party system) yang melahirkan sistem politik yang juga dominan.
Sistem parti dominan
Secara bandingannya sistem parti dominan adalah berada satu tangga lebih baik dari sistem Komunis yang bersifat satu parti (one-party sistem) dan dari segi ukuran demokrasi sistem satu parti adalah yang paling tercorot. Sebagaimana yang dimaklumi, di negara Komunis, parti adalah sinonim dengan kerajaan. Disini terdapat persamaan dengan apa yang berlaku di Malaysia iaitu adanya kecenderungan untuk melihat parti adalah sinonim dengan kerajaan.
Kecenderungan ini adalah sesuatu yang amat merbahaya kepada sistem demokrasi kerana sekiranya tidak dihalang ia akan menggelongsor kearah sistem politik yang bersifat totalitarianisme yang dicirikan oleh penguasaan yang total, memesong pemikiran rakyat (brainwashing) dan pemujaan terhadap negara dan pemimpin secara berlebihan.
Bolehlah dihujahkan bahawa sistem politik yang bersifat totalitarianisme sebagaimana yang terdapat di negara Komunis yang dikuasai oleh seorang diktator, boleh dilabelkan sebagai sebuah negara polis yang total.
Secara rumusannya dan berdasarkan perbincangan ringkas di atas, dapatlah dikatakan bahawa Malaysia layak dikategorikan sebagai sebuah negara polis dimana pertimbangan keselamatan begitu dominan sehingga ia melanggar asas-asas yang rasional.
Pemerintah Malaysia berkecenderungan untuk tidak membezakan antara parti dan kerajaan sebagaimana yang berlaku di negara Komunis. Sekiranya kecenderungan ini berterusan dan tidak dihalang oleh satu gerakan masyarakat sivil yang berkesan, maka dibimbangi ia akan bergerak ke arah mewujudkan satu sistem politik totalitarianisme yang pada waktu ini wujudlah satu negara polis yang juga total.
--------
Wan Abdul Rahman ialah bekas pensyarah sains politik, UKM
-
No comments:
Post a Comment