Monday, June 1, 2009

CHE DET TAK FAHAM ORANG MUDA

CHE DET TAK FAHAM ORANG MUDA
Anak Muda Melayu

Dalam blog CheDet (http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/04/the-generation-gap.html#more), Tun Mahathir kata generasi muda tidak memahami erti kemerdekaan, diperintah oleh Orang Kita dan bukan Orang Asing. Beliau menyalahkan pendidikan sejarah di sekolah yang gagal memberikan kesedaran kepada generasi muda.

Oleh kerana aku lahir pasca 1957, aku ni generasi muda walaupun umur dah hampir separuh abad. Memangnya aku tidak pernah berada di bawah pemerintahan Inggeris, dan tidak berada di zaman perang. Tetapi aku masih ingat kacaubilau tahun 69. Aku ingat zaman Tun Razak yang menyemarakkan perpaduan. Masa tu juga banyak bentuk kemakmuran melalui bantuan pertanian, dan biasiswa pun dah mula diberikan kepada rakyat. Zaman tu juga banyak sekolah-sekolah asrama penuh yang melahirkan ramai cerdik pandai terutamanya di kalangan orang melayu. Kemudahan-kemudahan prasarana pun ditingkatkan. Jadi, sejarah yang aku lalui tidak perlu pergi jauh sebaliknya zaman pembangunan dan pemulihan ekonomi.

Bermula era Mahathir, pada mulanya terasa gah kerana Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah dan kemudiannya timbullah penswastaan. Pembangunan pun memang hebat tetapi masa tu dah banyak berlaku percakaran politik. Di pihak UMNO, Mahathir dengan Ku Li kemudian Mahathir dan Musa Hitam. Kemudian berlaku pula pembunuhan Memali dan seterusnya Pemilihan UMNO 1987 yang menyebabkan perpecahan dalam UMNO, maka timbul pula Semangat 46.

Apabila Tun Salleh Abbas di pecat, sekali lagi berlaku tragedi dalam pentadbiran negara kerana Cabang Kehahiman telah di kembirikan. Masa itu, aku yang masih di awal dua puluhan dah mula rasa seperti dijajah, bukan oleh orang asing tetapi oleh UMNO. Sungguh pun ada keistimewaan, kerana boleh bekerja dan ekonomi yang baik tetapi merasa diri ini dijajah. Minda dibodohkan dengan media, dan orang-orang UMNO berlagak macam Malaysia ni dia orang punya. Rakyat biasa hanya menerima apa yang ada, digula-gulakan dengan kehidupan biasa, dan kononnya negara ini aman.

Bagi orang yang pernah berada di England, Amerika, Australia tentulah tidak boleh dibodohkan dengan propaganda UMNO, kerana telah melihat erti kebebasan bersuara di negara-negara itu. Tetapi bila balik di Malaysia media dikudakan. Segala media kerajaan di Malaysia boleh bercakap tentang keamanan, kestabilan ekonomi, dan pembangunan tetapi Minda diikat. Untuk bercakap songsang daripada pemimpin BN bererti menentang. Tambahan pula bila kita lihat mahkamah-mahkamah dan Polis digunakan untuk menjaga kepentingan UMNO dan Barisan Nasional. Generasi muda kecewa, fasal kebebasan yang diinginkan seperti yang dilalui di negara maju tidak boleh dicapai. Dengan adanya ISA, AUKU, Akta Rahsia Rasmi, dan pelbagai lagi Akta yang menggerunkan terasa bahawa Malaysia ni macam negara ketiga di Afrika. Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya pula bercakap seperti pihak UMNO dan BN. Sebagai rakyat, perasaan benci meluap dan lama-kelamaan akan diterjemahkan sebagai undi untuk memilih pembangkang.

Selain daripada undang-undang itu, banyak bentuk penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang negara berlaku. Aku tak boleh tahu apa yang betul atau salah. Tetapi bila di sebut skandal BMF, bail out untuk MISC, PERWAJA, MAS, dan banyak lagi mula timbul tandatanya -- apa sebenar yang berlaku. Jawapan samar-samar dan mengelirukan. Bila timbul pula kes pembunuhan Mustakizah, apa sebenarnya berlaku? Bila banyak sangat timbul tentang Altantuya, kami ingin cari kebenaran. Semua ini menjurus kepada kekeliruan dan keraguan. Kredibiliti pemimpin masa itu dipersoalkan.

Seterusnya kuasa raja-raja pun dikurangkan. Masa tu, sebagai rakyat memanglah seronok sebab kita rasakan kuasa dikembalikan kepada rakyat tetapi lama kelamaan baru menyedari bahawa kuasa itu sebenarnya adalah untuk PM dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Apa yang berlaku? Sungguh pun bukan semua dalam Internet betul, tetapi penulisan daripada Raja Petra (sebagai contoh) boleh diterima. Banyak bukti dan kenyataan beliau ada asas. Kami generasi pasca 1957 yang bukannya ahli totok UMNO akan terus mencari kebenaran dan biasanya boleh diperolehi daripada Internet. Kami tahu apa yang karut, dan apa yang betul. Dalam Internet tak ada penapisan jadi sebagai manusia yang diberikan fikiran kami buat penilaian dan tahu mana baik dan buruknya.

Kemuncak rasa tidak puas hati apabila Anwar Ibrahim diperlakukan dengan cara zalim. Sungguh pun aku tak pernah kenal Anwar dengan rapat dan dia pun tak peduli sapa aku, tetapi sebagai manusia berhati perut aku rasa perlakuan Mahathir kepada bekas Timbalan Perdana Menteri melampaui batasan kemanusiaan. Masa itu bukan soal kredibiliti tetapi kebencian yang amat sangat kepada Tun Mahathir. Dia mungkin hebat satu masa dulu, tetapi segalanya musnah kerana melampau dalam tindakannya.

Apabila Che Det bercakap tentang sejarah dan bebas daripada penjajahan, aku tidak terima hujah tu. Generasi aku inginkan kebebasan sebagai rakyat, untuk bersuara dan memilih pemimpin kami. Selagi pemimpin itu memahami aspirasi rakyat, bertindak adil dan segala institusi kerajaan tidak dipergunakan, kami boleh terima mereka. Pada kami, Malaysia telah bebas daripada penjajahan dan kami mahu terus bebas. daripada pemimpin yang korup.

No comments: