Monday, June 29, 2009

Rational Keperluan Poligami

Salah satu tanda akhir zaman ialah ramainya wanita berbanding lelaki. Kini semua lapisan masyarakat baik lelaki, baik wanita, tidak mengira apa bangsa dan negara pasti akan bersetuju dengan fenomena ini yang telah pun disabdakan oleh Rasul tercinta Nabi Muhammad SAW. Jika suatu kajian terperinci dilakukan ke atas fenomena ini, laporannya pasti akan mengejutkan ramai pihak. Untuk memfokuskan masalah ini, penulis hanya akan mengisytiharkan status bagi Negeri Selangor. Sehingga September 2000, nisbah wanita yang tidakpernah ada sebarang rekod perkahwinan berbanding lelaki yang tidak pernah ada sebarang rekod perkahwinan ialah 16. 2 nisbah 1 ( 16. 2 : 1 ).

Ini bermakna jika setiap lelaki ini bernikah hanya satu wanita, masih ada lebih kurang 15 wanita yang tidak bersuami. Nisbah ini tidak lagi mengambil kira jumlah janda dan balu seluruh Malaysia , di mana di seluruh Malaysia hingga September 2000, terdapat sekitar 600,000 janda seluruh negara tidak termasuk balu. Bagaimana pula dengan janda atau balu yang terpaksa melacurkan diri ataupun menjadi tukang urut untuk menampung keperluan diri dan anak-anak ? Angka-angka ini pastinya memeranjatkan. Sudah tentu…..!!!!!

Apakah implikasi dari fenomena ini ? Kes perzinaan di kalangan gadis-pemuda Melayu Islam amatlah menakutkan. Kes gadis Melayu Islam yang bercinta dan kahwin lari dengan pekerja asing dari kalangan warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan meningkat dengan begitu drastik sekali. Antara faktorutama selain masalah keruntuhan akhlak ialah kerana kesukaran mendapatkan calon dari kalangan rakyat tempatan.

Bagi wanita – wanita yang berstatus janda pula, mereka sukar sekali untuk memulakan rumahtangga yang baru kerana tidak ada pembelaan dan galakkan oleh orang Islam sendiri. Malu dengan status dirinya, bimbang dituduh perampas suami orang dan sebagainya. Malah dengan sistem kerajaan Barisan Nasional kini, mana-mana wanita berstatus balu kepada bekas kakitangan kerajaan tidak lagi layak menerima wang pencen hayat mendiang suaminya ( bagi saraan diri -anak serta pendidikan anak hingga berumur 21 tahun atau hingga Ijazah Sarjana Muda ) seandainya dia bernikah lain. Cubalah bayangkan sekiranya balu ini masih muda dan anak masih kecil, bukan hanya amat sukar untuk mencari suami baru malah akan kehilangan wang saraan ini.

Mereka amat menderita menahan tekanan jiwa dan batin. Saya yakin setiap mendiang yang meninggal dunia itu pastinya tidak mahu isterinya hidup keseorangan dan tidak lagi bernikah serta tidak mendapat pembelaan bagi diri dan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia.

Namun begitu, di dalam menifesto pilihanraya oleh Barisan Alternatif , jelas dinyatakan rancangan untuk mengekalkan bayaran pencen hayat ini kepada semua balu kakitangan kerajaan meskipun mereka bernikah semula tanpa mengira bangsa , agama mahupun berapa kali mereka nikah-cerai-nikah semula.

Jika seluruh wakil-wakil agama seluruh dunia dapat dikumpulkan dibawah satu bumbung dan satu perbincangan serius diadakan diantara mereka (dengan masing-masing berpegang kepada satu “common aggreement” iaitu perzinaan adalah haram bagi setiap agama ), bagi mencari penyelesaian masalah ini iaitu berhubung jurang perbezaan yang besar antara jumlah lelaki dan wanita di dunia terutamanya dari konteks pemblaan janda, balu dan andartu ,apakah yang keputusan yang bakal kita jangkakan ?

Jawabannya hanyalah dapat dihasilkan dari perspektif agama Islam dimana ianya telah dirakamkan oleh ALLAH SWT lebih 1400 tahun yang lalu melalui lidah kekasihNYA, Nabi Muhammad SAW, di dalam Al – Quranul Karim.

Firman ALLAH SWT :

“……maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari

perempuan-perempuan ( lain ); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang

tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah

dengan ) seorang saja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu

miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu

tidak melakukan kezaliman.” Surah An-Nisaa’ : 3

Islam mengharuskan seorang lelaki berkahwin sampai 4 orang. Namun dalam keadaan tertentu menjadi wajib bagi lelaki itu berpoligami. Tentu ada hikmah di sebalik Islam mengharuskan berkahwin sampai empat orang ini. Banyak hikmah di sebaliknya dan diantaranya :

1. Sebagai pembelaan kepada kaum wanita yang lebih ramai jumlahnya dari kaum lelaki bagi mengurangi bilangan andartu.

2. Pembelaan kepada janda-janda dan balu-balu yang memerlukan perlindungan suami.

3. Diwaktu isteri keuzuran seperti haid, nifas atau sakit yang berpanjangan. Ada isteri yang lain yang dapat membantu menyelesaikan keperluan insaniah suami , lahir dan batin agar tidak membuka ruang tekanan pada suami hingga menyebabkan mereka menghampiri zina.

Hal ini janganlah di salah ertikan seolah lelaki itu gila seks. Ini adalah kerana fitrah kejadian , naluri , nafsu dan keperluan diantara seorang lelaki dan wanita tidak lah sama. Lelaki memang telah dijelaskan oleh hadis mempunyai satu nafsu yang menjurus pada syahwat, sedangkan wanita mempunyai lebih nafsu tetapi disebarkan kepada banyak aspek , malah sifat malu yang ada pada wanita itu sendiri amat memberi kesan terhadap kemampuannya mengawal diri dan maruah. Bukalah minda anda terhadap hakikat fitrah kejadian makhluk ALLAH SWT yang bergelar lelaki dan wanita. Ini bukan soal menzalimi isteri atau tidak lagi menyayangi isteri.

Cubalah kita fikirkan, mengapakah dalam satu hadis , Nabi SWA. Telah bersabda bahawa seorang isteri tidak boleh menolak tuntutan suaminya untuk berjimak , biarpun ketika itu berada di atas bonggol unta, melainkan ada uzur syari’e. Islam amat mementingkan pencegahan dari maksiat. Malah segala pintu-pintu maksiat ditangani oleh Islam dengan segera sejak dari mula. Tuntutan dan keperluan seksual lelaki yang terhalang boleh menjejaskan kesihatannya dan menganggu tumpuannya dalam aktiviti harian apatah lagi ibadah. Yang amat dibimbangi ialah sekiranya lelaki itu pula mempunyai iman yang lemah dan lelaki itu pula hilang kawalan diri, maka dikhuatiri berlaku maksiat. Penulis mendoakan agar ALLAH SWT pemberikan kefahaman ilmu kepada kaum wanita. Amin.

5. Sebagai jalan keluar untuk melahirkan zuriat yang ramai jika isteri tidak boleh mengandung.

6. Setiap wanita memiliki watak, minat dan bakat yang berbeza di antara satu sama lain. Bila beristeri ramai, watak, minat dan bakat isteri-isteri yang berbeza-beza itu akan mematangkan suami dalam memimpin isteri dan dalam soal berkaitan tuntutan perjuangan, dakwah dan jihad. Dan sesetengah watak, minat dan bakat isteri-isteri itu pula diperlukan dalam membantu tugas-tugas suami di luar rumah atau dalam profesyennya. Ada isteri yang diperlukan untuk pengurusan rumahtangga dan anak-anak. Bukan dipaksa-paksa tetapi memang watak, minat dan bakatnya terserlah dibidang pengurusan rumah dan anak-anak. Terhibur dengan tugasnya.

Dari Ibnu Mas’ud bersabda Rasulullah SAW :

“ Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka ALLAH

memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya ( sepuluh ribu tahun

) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan

syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.”


Apakah itu Keadilan

Antara isu yang sering dimomokkan oleh penentang poligami yang secara tidak langsung telah menzahirkan diri mereka sebagai mangsa suntikan jarum beracun Sekular, Orientalis dan musuh-musuh Islam ialah isu “keadilan”.Hampir kesemua mereka ini melemparkan hujah mereka yang tidak berlandaskan syarak dan Ihjtihad ulamak Feqah. Hujah-hujah dangkal mereka hingga kini hanyalah berkisar kepada contoh-contoh persekitaran dan material yang telah banyak diexploitasikan oleh media-media pena,cetak dan audio/visual yang jelas ditadbir oleh kerajaan Sekular yang tidak meletakkan Al-Quran, Sunnah, Ihjtihad dan Qias sebagai dasar hukum negara dan siasah.

Kolum-kolum akhbar mingguan seperti “Asam Garam Rumah Tangga” yang sering menampilkan kehancuran rumahtangga berpoligami , sememangnya menjadi rujukkan umat Islam ( terutama dari kalangan wanita ) dan bukannya Al-Quran, Sirrah dan Sunnah Nabi SAW, Sirrah para sahabat Baginda , para Tabi’in dan ulamak. Ini semua telah membentuk satu acuan fikrah yang tidak sihat terhadap konsep dan pengamalan poligami. Penulis sendiri mempunyai ramai kenalan yang berpoligami dan mereka semua bahagia. Isu wujudnya keluarga berpoligami yang bahagia tidak ditampilkan kepada masyarakat kerana alasan kurang sensasi dan tunduk kepada bantahan isteri-isteri pemimpin negara dan orang kenamaan Negara yang ada antara mereka dengan nada yang keras dan tidak malu berkata :“ Kami lebih rela suami kami main perempuan lain daripada dia nikah perempuan lain”.

Astargfirullahala’zhim.!!!!!! Apa sudah jadi dengan iman kamu ?

Renungilah kata-kata seorang ‘Abid :

“ Menutup pintu poligami bererti membuka pintu zina”

Terlalu celupar mulut-mulut yang menentang poligami sedangkan mulut-mulut itu tidak pernah membicarakan soal penyelesaian dan penghapusan zina, soal exploitasi seks terhadap kaum wanita dan soal pembelaan kaum andartu, janda dan balu.

Berbalik kita kepada soal keadilan. Ramai wanita yang jahil agama memandang dan membuat definasi sendiri bahawa keadilan itu sebagai samarata dan samarasa. Ini bukanlah yang ditakrifkan oleh syarak. Syarak dengan jelas mendefinasikan keadilan sebagai meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Seperti kasut di kaki , kopiah letaknya di kepala dan sebagainya. Keadilan itu bukanlah membahagikan sesuatu itu sama rata atau sama banyak tetapi membahagikan sesuatu sama adil iaitu mengikut yang sepatutnya. Sebahgian orang yang berpoligami menganggap keadilan itu ertinya sama di sudut lahir dan batin. Kalau A dapat kain 2 meter, B pun mestilah dapat 2 meter juga. Tetapi bagaimana kalau B berbadan besar dan lebih tinggi, sudah tentu 2 meter tidak cukup.

Apakah dengan menambah lebar dan panjang kain tadi untuk B agar dapat dibuat pakaiannya itu dianggap tidak adil?. Jawabannya ialah ini adalah adil yang dituntut. Bukan jumlah panjang kain yang penting tetapi suatu ukuran nisbah yang mencukupi kadar bagi keduanya sekadar yang diperlukan mereka.

Begitulah halnya, jika wanita yang hendak dijadikan isteri kedua itu seorang yang telah mencapai taraf andartu , namun begitu ianya telah mempunyai rumah, pekerjaan tetap , bergaji selesa dan berkenderaan. Dan jika wanita itu pula dengan penuh redho untuk bernikah dengan seorang suami orang yang berpendapatan sederhana dimana wanita itu tidak memerlukan sangat wang dari lelaki itu kerana telah sedia ada. Yang dia perlukan ialah kasih sayang, bimbingan dan perlindungan dari seorang lelaki yang sah dan halal dari hokum syarak.

Apakah perlu kita membebankan lelaki tersebut dengan seribu satu syarat kewangan yang bukan merupakan keperluan wanita tersebut. Kesunyian seorang wanita tidak akan dapat ditukar ganti dengan wang ringgit. Janganlah ada wanita yang menuduh lelaki mengambil kesempatan keatas kestabilan ekonomi wanita yang andartu untuk mengahwininya. Nabi SAW turut sama bernikah dengan seorang hartawanyang berstatus janda, bunda kita Ummul Mukminin rmh., Siti Khadijah yang turut memberikan sokongan kewangan , kasih sayang dan moral kepada Baginda SAW. Malah aspek harta adalah salah satu perkara yang dibenarkan Islam sebagai dasar mencari calon isteri.

Sabda Rasulullah SAW :

“ Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara : Kerana hartanya, kerana

kecantikannya, kerena kebaikan akhlaknya dan kerana agamanya. Kahwinlah dengan

wanita yang baik penghayatan agamanya, engkau akan mendapat ketenteraman”

Jika bakal isteri kedua adalah seorang solehah yang kebetulan berharta atau sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan yang stabil , apakah salahnya ? Kenapakah sering wanita memandang serong dengan begitu mudah sekali. Tidakkah mereka cuba fahami jeritan batin andartu, janda dan balu yang juga sama kaum dan mempunyai naluri yang sama dengan mereka ?

Penulis mahu membawa pembaca jauh ke negara Ghana dimana sahabat penulis yang mempunyai ayah yang berpoligami. Kedua-dua isteri tinggal dibawah satu bumbung dan turut sama berkerja sambilan untuk membantu suami yang hanyaseorang penjual daging di sebuah pasar di bandar Accra. Bagaimana pula dengan datuk – datuk kita yang ada juga antaranya berpoligami dan menjalani kehidupan yang sama seperti di atas sedangkan ia hanya seorang petani ?. Apakah kita terlalu bimbang tidak cukup makan hingga kita hilang pertimbangan yang waras dalam membincangkan soal poligami secara wajar ? Cukuplah kesilapanini. Dimanakah iman kita terhadap janji ALLAH ?

Firman ALLAH :

“ …..dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNYA

dan meninggalkan laranganNYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan

keluar ( dari segala perkara yang menyusahkannya ).” Surah At – Talaaq : 2

Masalahnya ialah ramai wanita yang mengenakan syarat ketat untuk membolehkan si suami berpoligami, seperti mestilah mampu boleh menyediakan tempat tinggal berasingan, kereta baru dan sebagainya kepada isteri kedua tanpa mengurangi segala yang sedia diterima oleh isteri pertama. Jika inilah kayu ukuran wanita, alangkah malunya!!! Kenapakah begitu fikrah anda?. Bagaimanakah pula dengan contoh di Ghana dan datuk-datuk kita ? Kenapa mereka boleh. Janganlah menjadikan kelemahan dan kekurangan diri anda untuk menjadi seorang isteri yang faham tuntutan Islam , redho dan zuhud , untukmenghalang pembelaan kepada kaum anda sendiri. Moga pihak wanita tidak lagi menyempitkan skop poligami yang telah dijumudkan oleh musuh-mush Islam. Islam amat menganjurkan agar perkahwinan itu dipermudahkan dan janganlah dibebankan dengan perkara-perkara yang tidak wajar.

Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a berkata :

“ Tidak ada yang mencegah perkahwinan selain mati pucuk dan perzinaan”

Penulis masih teringat serangan hujah kaum wanita kepada mereka yang berada yakni kaya serta berpoligami. Kata wanita ini : “ Mentang -mentang kaya kahwin lagi satu !!” Tetapi kini, bila lelaki yang berpendapatan sederhana dan kecil bercadang untuk berpoligami , ada pula suara -suara sumbang dari kaum wanita juga : “ Kau mana boleh kahwin lagi satu, nak bagi makan apa kata mereka !!!!”. Kesimpulannya kedua-dua status kewangan lelaki, baik kaya atau sederhana/kecil ditentang. Ini apa cerita ini?. Sebagai muslim kita wajiblah bertindak selari dengan tuntutan syarak. Jika cemuhan dan bidalan masyarakat terutama kaum wanita yang kurang faham agama menjadi faktor keputusan kita…alangkah malangnya dan nasib wanita itu sendiri tidak terbela.

Nilaikanlah kedudukan kita berlandaskan syarak dan jika ada calon yang memenuhi keseimbangan kewangan kita dan boleh bertolak ansur maka seharusnya kita dapat membuat keputusan yang sebaiknya. Dalam soal menuduh kaum lelaki tidak adil, cubalah pihak wanita merenungi ayat berikut.

Firman ALLAH SWT :

“ …..dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu

mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil ( kepada

sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. Surah Al- Maidah : 8

Wahai kaum Hawa yang amat dihormati, jika terhadap kaum yang kita ada menaruh kebencian pun , kita diperintahkan oleh ALLAH agar berlaku adil , apatah lagi jika kaum yang hendak dibela itu iaitu andartu, janda dan balu adalah sama kaum dengan anda yang pastinya anda sayangkan mereka ? Marilah bersikap adil.

Firman ALLAH SWT :

“ Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah

kepada ahlinya (yang berhak menerimanya ), dan apabila kamu menjalankan hukum

di antara manusia, ( ALLAH menyuruh ) kamu menghukum dengan adil.”

Surah An- Nisaa’ : 58

Tambahan lagi soal keadilan oleh suami yang berpoligami ini telah dibahaskan secara ilmiah oleh ulamak Syafi’ah dan mereka sepakat bahawa soal keadilan yang dituntut sangat ialah soal “keadilan zahiriah” , itu pun perlu berlandas kepada definasi Islam iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya seperti yang telah dihuraikan di atas. Soal batiniah tidaklah ditekankan oleh Islam kerana ianya sendiri teramat bersifat subjektif.

Firman ALLAH SWT :

“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu

sekalipun kamu bersungguh-sungguh ( hendak melakukannnya ); oleh itu janganlah

kamu cenderung dengan melampau-lampau ( berat sebelah kepada isteri yang kamu

sayangi ) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang

tergantung ( di awang-awang ); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang

pincang itu ) , dan memelihara diri ( daripada perbuatan yang zalim), maka

sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah An- Nisaa’ : 129

Jumhur ulamak telah bersepakat bahawa, soal adil yang di bicarakan oleh ayat di atas adalah berkenaan soal batiniah. Nafkah yang diberikan oleh suami kepada isteri-isterinya hendaklah diberikan pada ukuran yang ma’aruf. Yakni ukuran yang menjadi kebiasaan sehari-hari. Misalnya, jika isterinya A sejak sebelum kahwin, sudah biasa makan daging dan buah-buahan setiap hari, maka nafkah yang diberikan oleh suami harus mencukupi keperluan tersebut. Jika isterinya B, hanya makan daging dan buah-buahan seminggu sekali, maka memadailah dengan kebiasaannya. Sudah tentunya ukuran ini tidak sama diantara satu sama lain. Namun inilah definasi syarak keatas konsep keadilan itu sendiri. Sekiranya si isteri pula redha untuk hidup berlebih kurang dengan kemampuan suami, tidaklah nafkah itu terbeban pada suami baik di dunia mahupun akhirat. Dan terlepaslah si suami dari soal jawab dengan ALLAH SWT dari segi keadilan dalam berpoligami.

No comments: