SEPT 1 – Selepas pilihanraya 8 Mac 2008 yang menyaksikan pakatan pembangkang menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di parlimen dan beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang terlepas dari cengkaman parti pemerintah sementara negeri Kelantan berjaya dipertahankan oleh PAS, suhu politik negara tidak pernah reda.
Bagi pencinta demokrasi, ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini adalah kerana selama ini, Malaysia hanya diperintah dengan oleh BN (dahulu dikenali sebagai Perikatan) dengan majoriti 2/3 di parlimen. Oleh kerana itu, banyak keputusan yang membabitkan kepentingan negara contohnya seperti dasar PPSMI dibuat tanpa ada perdebatan dan perbincangan yang serius di parlimen sebelum dilaksanakan. Setelah lebih lima tahun dilaksanakan, kerajaan terpaksa memansuhkan dasar PPSMI setelah ditekan kuat oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Selepas PRU 12 yang lalu, BN mempunyai pesaing yang kuat yaitu Pakatan Rakyat (ditubuhkan oleh PAS, BN dan DAP selepas Tsunami politik 8 Mac). Perkembangan ini telah memberikan keutungan kepada rakyat oleh kerana kedua-dua BN dan Pakatan terpaksa membuat dasar-dasar yang popular dikalangan rakyat untuk memenangi hati mereka. Ini dapat dilihat apabila harga bahan bakar pernah diturunkan lebih dua tiga kali dalam sebulan oleh kerajaan BN apabila ditekan oleh Pakatan.
Ini adalah diantara keuntungan yang diperolehi oleh rakyat apabila parlimen tidak dikuasai secara mutlak oleh sesuatu parti politik. Jika dikurangkan lagi majoriti parti yang memerintah, sudah pasti lebih banyak imbuhan yang diperolehi oleh rakyat pada masa akan datang.
Kini pemerintah telah mula sedar, tanpa rakyat siapalah mereka. Ini dapat disaksikan bagaimana PM Najib yang kini sedang hangat mencanangkan slogan 1Malaysia, berusaha keras untuk memenangi kembali sokongan rakyat yang telah dirasakan semakin tidak memihak kepada BN.
Tambahan lagi dikala senario politik negara telah banyak berubah. Jika dahulu, pilihanraya kecil (PRK) tidak kira dikawasan mana sekalipun, pasti akan memihak kepada BN. Selepas 8 Mac, BN kalah PRK secara berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai dan terbaru di Permatang Pasir.
BN hanya menang di Batang Ai dan tidak meletakkan calon (pertama kali dalam sejarah) di Penanti.
Kerajaan Pakatan yang baru menguasai negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jika terus menerus dibuai mimpi tidak mustahil akan menerima hukuman dalam PRU akan datang. Ketika itu barulah mereka tahu bahawa rakyat tidak mengundi membuta-tuli. Rakyat mengundi untuk perubahan dasar-dasar yang lapuk dan bukannya setia kepada sesuatu parti atau individu secara membuta tuli.
Demokrasi Malaysia yang semakin rancak dan subur kini telah dicemari oleh politik perkauman yang cuba dihidupkan semula oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi memastikan formula pecah dan perintah yang diilhamkan oleh penjajah British dapat terus dihidupkan.
Bagi kelompok ini, jika Malaysia bebas dari politik perkauman, ini adalah satu perkembangan yang merbahaya kerana ianya akan turut melenyapkan peluang-peluang ekonomi yang selaama ini dinikmati mereka. Oleh kerana itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan ideologi “politik perkauman” terus hidup dan ini akan memanjangkan usia “politik” kelompok-kelompok tertentu.
Media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3, secara konsisten terus-menerus membakar sentimen orang-orang Melayu bahawa mereka sudah kehilangan kuasa. Walaupun apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dan TV3 ini bercanggah dengan dasar 1Malaysia yang dibawa oleh PM Najib, tidak pula kita dengar Utusan Malaysia dan TV3 diberi amaran oleh PM agar perkara-perkara yang mengapi-apikan sentimen perkauman haruslah dihentikan secara serta-merta.
Ini telah menyebabkan ramai pihak percaya bahawa percubaan untuk menghidupkan kembali api perkauman ini adalah satu gerakan yang terancang. Terbaru, pada 28 Ogos 2009, kira-kira 50 orang yang mendakwa mereka penduduk Seksyen 23 Shah Alam, berkumpul di Masjid Negeri selepas solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan SUK Selangor dengan membawa kepala lembu sebagai bantahan terhadap cadangan untuk memindahkan kuil ke kawasan mereka.
Insiden “kurang ajar” ini telah memranjatkan pelbagai pihak oleh kerana perbuatan berarak membawa kepala lembu dan memijak-mijak kepala lembu tersebut adalah satu tindakan yang menghina agama Hindu oleh kerana bagi agama Hindu, lembu adalah binatang yang suci dan dianggap sebagai tuhan.
Lebih memeranjatkan lagi apabila Polis Di Raja Malaysia (PDRM), tidak melakukan apa-apa dan hanya membiarkan sahaja kumpulan terbabit melaksanakan sesuatu aktiviti untuk menghina agama orang lain secara terbuka.
Tindakan polis ini telah menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap badan tersebut dan tuduhan-tuduhan bahawa PDRM berat sebelah kepada parti politik tertentu semakin dilihat benar.
Permohonan maaf yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam, Noor Azam Jamaluddin sehari selepas kejadian tersebut tidak mencukupi tanpa tindakan yang agressif dari PDRM untuk membawa pelaku-pelaku perkara terkutuk tersebut kemuka pengadilan.
Mengapa jika demonstrasi dianjurkan oleh Pakatan atau NGO (badan bukan kerajaan) yang pro demokrasi seringkali berhadapan dengan tindakan daripada PDRM? Dalam beberapa kejadian, PDRM telah menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan atau NGO sebelum bermulanya demonstrasi bagi mengagalkannya.
Mengapa dalam kes “perarakan kepala lembu” polis tidak bertindak agressif dan efisyen? Alasan pegawai junior ditempat kejadian sebagai sebab untuk PDRM tidak bertindak pantas adalah alasan yang tidak boleh diterima.
Apakah kerajaan dan PDRM mahu melihat pergaduhan agama di Malaysia berlaku seperti diantara penduduk Hindu dan Muslim di India? Atau seperti apa yang pernah berlaku diantara penduduk Islam dan Kristian di Ambon, Indonesia?
Mempertahankan kekuasaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memusnahkan asas-asas kenegaraan Malaysia seperti hormat menghormati diantara rakyat yang berlainan bangsa dan agama. Apabila bertanding dalam pilihanraya yang perjalanannya bebas dan adil, kita harus menerima hakikat bahawa akan ada pihak yang menang dan kalah.
Kekalahan janganlah dijadikan sebab untuk terus-menerus mengapi-apikan sentimen perkauman sekaligus memporak-perandakan keharmonian diantara rakyat. Jika kerajaan PM Najib serius dengan gagasan 1Malaysia, pelaku-pelaku biadap pada 28 Ogos lalu harus diseret kemuka pengadilan. Tidak perlu gunakan ISA. Gunakan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Hasutan untuk memberikan pengajaran kepada mereka.
Jika tidak, benarlah kata ramai pihak bahawa slogan 1Malaysia yang dibawa oleh PM Najib tidak ada bezanya dengan Islam Hadhari yang satu ketika dahulu dibawa oleh Tun Abdullah Badawi.
-
No comments:
Post a Comment