Saturday, September 27, 2008

Kisah Tiga Mamat

Ini kesah Tiga Mamat. Ingat atau tidak – kita ada Mat Sentul yang membuat filem Mat Bond. Kita ada Mat Toyol juga dilakonkan oleh Mat Sentul. Kita ada film Mat Lanun. Kita ada filem Mat Tiga Suku dan Mat Karong Guni yang juga dilakonkan olih Mat Sentul. Semua ini termasuk dalam genre filem lawak bodoh yang menyeramkan.

Bila saya tulis tentang filem-filem lawak bodoh ini pasti pembaca tertanya-tanya – betul ke ada filem ini. Nampak sangat saya ini ‘oltie’ mendewasa di zaman Latifah Omar dan Nordin Ahmad. Jangan risau dan jangan gundah – semua filem-filem ini wujud. Saya tidak klentong.

Tetapi disini bukan tentang filem yang hendak saya tulis tetapi satu teater lawak seram lagi bodoh yang sedang dipentaskan untuk hiburan kita semua. Teater ini bukan arahan atau lakonan Mat Sentul tetapi lebih sewel dari Mat Sentul lebih bodoh dari semua lawak-lawak bodoh dari zaman Cathy Keris dan Jalan Ampas. Lebih tiga suku dari Mat Tiga Suku. Lebih karong dari Mat Karong Guni.

Mamat Pertama dalam teater lawak seram ini ialah Mat Segaran Pillai ( bukan peguam DSAI dan tidak ada talian keluarga arwah M.G.G Pillai). Mamat ini bercita-cita besar. Lebih besar dari tayar kerusi roda Eye of Kuala Lumpur. Dia bukan berNgo untuk rakyat Malaysia. Bukan juga berNgo untuk rakyat Asia. Bukan juga untuk rakyat Asia, Afrika dan Latin Amerika tetapi berNgo untuk rakyat Dunia. Ciss… hebat lawak si Mamat ini tetapi Bantang Berjuntai pun dia belum pernah sampai untuk berjuntai-berjuntai.

Kadang-kadang saya sedih sambil ketawa apabila diberitahu bahawa Ngo yang dikepali oleh si Mamat ini yang hanya ada tiga orang ahli. Bayangkan tiga orang ahli cuba membawa Keadilan Untuk Dunia. Ngo ini kalau di terjemahkan ke dalam bahasa Jambi ialah Just World – jangan silap-silap ini bukan nama kelab judi di 43rd Street di New York – yang kelab judi itu Just World Trust.

Kak kah kah…. isteri dia, anak dia dan Dia…. kah kah kah – tiga orang ahli. Macam mana tiga orang ini hendak membawa Keadilan Dunia saya pun bingong lagi malap.

Lalu soalan Chepu Emas muncul – mungkinkah Ngo Keadilan Untuk Dunia ini ditubuh sebagai cara untuk mendapat dana dari luar negara kot? Ha ha ha. Trick ini semua kaki-kaki Ngo tahu. Jadi saya tidak perlu cerita panjang. Atau Ngo yang tidak ada sesiapa pun pernah dengar namanya di Malaysia ini hanyalah sebagai cara agar Mat Segaran ini dapat ditemu ramah oleh Mama Juwie dari Mingguan Malaysia.Kah kah kah.

Biar saya bersurah sikit agar anak-anak muda tahu siapa Segaran ini. Mamat Segaran ini pada satu ketika dahulu pernah bertanding untuk menjadi MP. Hebat angan-angan si Mamat ini. Tetapi sayangnya warga Bandar Tun Razak tidak kenal dia ini siapa. Pengundi Melayu ingat dia warga India. Pengundi India ingat dia Benggali Roti. Pengundi Cina ingat dia Ghurkha dari Nepal. Hasilnya si Mamat ini di gudam oleh warga Bandar Tun Razak.

Kerana ini saya menyokong kuat cadangan Sultan Johor agar sesiapa yang beralih-alih tuhan ini tidak patut nama mereka beralih-alih sama. Lihat apa sudah jadi kepada warga Bandar Tun Razak, kacau bilau, mereka hampir tertipu kerana tidak tahu asal usul Segaran Pillai.

Keadaan ini bertambah celaru kerana satu ketika dulu si Segaran ini bercakap tentang keadilan tetapi apabila Parti Keadilan Rakyat hendak mengambil kuasa dia terbalik kot. Dia terkentut di mulut menyokong gerombolan United Malays National Organisation. Kah kah kah.

Ini tidak menghairankan beb… nama pun dia ditukar-tukar untuk mengabui mata Orang Melayu. Tuhan pun dia tukar-tukar apa lagi dasar perjuaangan. Si Mamat ini lebih hodoh dari si Tenggang. Dia lupa terus asal usulnya. Dia melupakan meruku dan thosainya. Ini bukan fitnah saya. Kalau tidak percaya tanya Hindraf dan Aliran. Kah kah kah.

Mamat Kedua dalam teater ini bernama Mamat Kurapan. Mamat ini tidak ada sangkut paut dengan satu jenis penyakit kulit, harap maklum. Kendati pun kita masih tidak mengetahui asal usulnya. Justeru, kita jangan tersalah orang. Mamat Kurapan ini tidak ada juga kena mengena dengan Pemimpn Agung MIC. Perbezaan si Mamat Kurapan ini dengan Pemimpin Agung MIC cukup jelas. Mamat Kurapan ini ada rambut dan tidak memakai tupee seperti Pemimpin Agung MIC.

Mamat ini cukup sangap. Sama seperti Mamat Segaran dia memiliki cita-cita politik yang amat besar. Tetapi Mamat ini masih setia dengan merukunya. Cita-citanya tidaklah sebesar Segaran Pillai yang ingin menjaga Keadilan Dunia. Si Kurapan hanya bercita-cita untuk menjadi Pemimpin Agung masyarakat India di seluruh Malaysia. Rasa saya cita-cita Mamat ini cukup murni.

Si Kurapan telah menubuhkan Malaysian Indian United Party (MIUP). Macam mana parti ini dapat lesen pertubuhan dalam masa 3 hari saya pun tidak tahu. Walhal ada parti politik yang telah menunggu sampai sepuluh tahun untuk mendapat lesen. Tetapi ini cerita lain.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk menubuhkan parti politik. Malah ini adalah cara yang paling senang untuk menjadi Presiden sesebuah parti politik. Tanpa pertandingan di cawangan atau di bahagian si Kurapan ini terus menjadi Presiden MIUP. Ini samalah macam Mahathir Muhamad menubuhkan gerombolan United Malays Nastional Organisation dahulu. Mahathir terus melantik dirinya sebagai presiden. Khalas.

Si Kurapan ini betul-betul sangap politik. Dia menjemput Najib Razak untuk merasmikan penubuhan MIUP. Si Kurapan pasti membuat perhitungan bahawa satu kurun lagi Najib Razak akan menjadi PM Malaysia. Kalau sekarang dia sudah ‘parking’ di sebelah Najib pasti dia dapat menyikat rambut Najib untuk mendapatkan lesen kasino. Hebat. Antara Rosmah dengan Kurapan siapa agaknya yang akan dipilih oleh Najib? Jawabnya pastilah Saiful Bukhari. Bijak Mamat Kurapan ini.

Tetapi sebenarnya Mamat Kurapan ini cukup bebal. MIUP telah dilancarkan oleh Najib pada hari HINDRAF mengadakan demo di Kuala Lumpur. Dia langsung tidak tahu sentimen masyarakat India. Kurang arif saya bagaimana si Kurapan ini mahu menjadi pemimpin semua orang India kalau program penting masyarakat India pun dia tidak tahu. Akhirnya dewan pesidangan kosong. Habuk orang India pun tidak ada dalam dewan. Nasi dan lauk pauh tinggal bersepah untuk dimakan kucing. Hasilnya yang mendengar ucapan Najib hanya si Kurapan. Majlis akhirnya menjadi pesta kucing kurap.

Pelawak Ketiga dalam teater lawak bodoh ini tidak lain dan tidak bukan ialah Mat Ezam. Seperti tulisan saya minggu lalu Mat Ezam ini telah dihinggapi oleh penyakit KKS – kurang kaseh sayang. Akhir-akhir ini dari apa yang saya difahamkan penyakit Mat Ezam ini kini telah bertambah teruk. Dia sekarang bukan sahaja diserang olih KKS tetapi telah dijangkiti pula oleh TB.

Tanda-tanda awal KKS ini telah dapat kita lihat agak lama dahulu. Riak-riak penyakit TB ini baru muncul dalam bulan Ferbuari/March yang lalu. Kita jangan lupa Mat Ezam ini telah ke hulu ke hilir awal tahun ini. Dia menziarah Kelantan, dia melawat opis Pas di Jalan Raja Laut ( jangan ketawa Mat Ezam masuk ikut pintu depan bukan pintu belakang ). Semua ini adalah riak-riak, tanda-tanda dan simptom penyakit TB.

Serangan TB kali pertama terhadap Mat Ezam sampai pada awal March. Serangan TB ini cukup hebat. Semput Mat Ezam terutama apabila keputusan piliharaya memperlihatkan banyak kerusi telah di menangi olih PKR.

Kerana serangan TB ini bagitu hebat Mat Ezam menjadi jaki apabila melihat PKR kini menjadi parti yang kukuh lagi berpengaruh. Mat Ezam tidak boleh tahan lagi lalu memasuki gerombolan United Malays National Organistaion.

Satu minggu sesudah memasuki gerombolan itu Mat Ezam telah diserang sekali lagi oleh TB. Kali ini serangan datang bertalu-talu. Semput sekali lagi Mat Ezam kerana serangan TB ini. Penyakit jenis TB ini amat merbahaya terutama kepada sesiapa sahaja yang suka bersumpah, suka mencabar dan cakap bergegar-gegar.

Lawak penyakit Mat Ezam ini menjadi bodoh lagi menyeramkan. Berita paling terakhir yang saya terima cukup sedih lagi pilu. Mat Ezam telah cukup bodek agar dia tidak lagi diserang oleh penyakit TB. Sayang, Mat Ezam di serang lagi. Kali ini dia hampir hilang nafas. Mat Ezam sedih lagi kecewa. Malah dia hampir tidak percaya kenapa penyakit TB – Tidak Bertanding - ini terus menerus menyerang walhal dia telah cukup bodek.

Banyangkan bulan March lalu Mat Ezam Tidak Bertanding kerana tidak ada parti politik yang hendak beri laluan untuk Gerak. Kemudian Mat Ezam berangan-angan hendak mejadi Ketua Pemuda gerombolan United Malays National Organisation tetapi dilarang lalu Tidak Bertanding. Akhirnya Mat Ezam berharap sangat dia akan di pilih di Permatang Pauh. Tetapi sekali lagi dia diketepikan lalu Tidak Bertanding.

Penyakit TB ini telah menyebabkan Mat Ezam menjadi Gila Talak ke hulu ke hilir membebel untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Sedih cerita lawak bodoh ini. Nampaknya Gila Talak ini juga telah menjangkiti Mat Segaran Pillai dan Mat Kurapan.

Demikianlah kesah lawak bodoh Tiga Mamat yang sedang di hinggapi oleh penyakit Gila Talak. Ubat gila talak ini hanyalah suntikan 3P – Permatang Pauh, Parlimen dan Putrajaya.

DARI JELEBU

Hishamuddin Rais

No comments: