Saturday, September 27, 2008

Sasaran Lahir 200 Usahawan Bumiputera

BERA 13 Jan (Utusan Malaysia) - Kerajaan menetapkan sasaran untuk melahirkan seramai 200 usahawan bumiputera menerusi program keusahawanan Pusat Giat Mara pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi tujuan itu di lima negeri iaitu Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak.

‘‘Setiap negeri terbabit menerima bantuan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan program yang kita sasarkan kepada bumiputera yang tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) peringkat daerah di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Pada majlis tersebut, seramai 44 pelatih Giat Mara menerima geran bantuan sebanyak 1.7 juta daripada Mohd. Khaled.

Menurut beliau, geran bantuan tersebut disalurkan bagi meningkatkan bidang keusahawanan dan francais yang dijalankan oleh pelatih terbabit dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terlatih dan berdaya saing.

‘‘Setiap pelatih terbabit menerima antara RM30,000 hingga RM35,000 seorang bagi tujuan tersebut,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, beliau memberitahu, Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM3.3 bilion bagi melaksanakan pelbagai program di bawah kementeriannya.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) manakala RM1.6 bilion lagi kepada koperasi-koperasi di seluruh negara.

‘‘Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membina lebih banyak Pusat Giat Mara bertujuan melahirkan lebih ramai pelatih bumiputera yang akan mengisi peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Mengulas penubuhan MPUD, tambahnya, sehingga kini, sebanyak 92 majlis seumpama itu ditubuhkan di seluruh negara.

‘‘Kita menyasarkan semua daerah akan mempunyai MPUD di negara ini menjelang akhir tahun ini,” katanya sambil menambah sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

Ditanya mengenai kerugian yang dialami usahawan dalam kejadian banjir baru-baru ini, Mohd. Khaled mengarahkan semua agensi kementeriannya mengemukakan laporan penuh bagi menilai kerugian sebenar.

Setakat ini, beliau menjelaskan, pihaknya belum menerima laporan penuh daripada agensi-agensi di bawah kementeriannya.

Beliau bagaimanapun, yakin tidak ramai usahawan mengalami kerugian besar dalam bencana tersebut kerana mereka masih mampu menjelaskan bayaran hutang pinjaman setiap bulan.

1 comment:

Azizen MdNor said...

This is not the right way to encourage entrepreneurships