Monday, September 29, 2008

Raja Munirah Gagal Batal Hukuman

PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, gagal dalam cubaan terakhirnya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan cuba menyeludup syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 2006.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Agung Jepun pada 20 Mei selepas mendapati hujah yang dikemukakan oleh peguam bela Raja Munirah hanya berdasarkan dakwaan tidak mematuhi prosedur undang-undang yang bukan alasan kukuh membenarkan permohonan Raja Munirah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung.

Peguam belanya, Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi berkata, alasan betul yang terkandung dalam Fasal 405 Undang-undang Prosedur Jenayah Jepun ialah dakwaan bagi tidak mematuhi hak Perlembagaan.

Beliau berkata, Raja Munirah amat sedih dengan keputusan mahkamah itu tetapi menerimanya dengan tenang.

Rosal Azimin berkata, Raja Munirah mungkin memohon bagi parol tetapi dia perlu menghabiskan separuh daripada hukuman penjara itu.

Raja Munirah, 23, dihukum penjara tujuh tahun dan enam bulan serta didenda 1.5 juta yen (RM46,800) atau penjara 250 hari jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Tinggi Jepun selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan itu.

Hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 20 Disember 2006. Bagaimanapun, dia diberikan pengurangan 270 hari dan dengan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun sembilan bulan.

Rayuannya ke Mahkamah Tinggi Jepun bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara juga gagal.

Sementara itu, Rosal Azimin merayu sumbangan daripada orang ramai untuk membayar denda bagi Raja Munirah supaya pelajar itu tidak perlu menjalani hukuman penjara 250 hari lagi.

Pada 20 Disember 2006, Raja Munirah ditahan di Lapangan Terbang Narita apabila satu bungkusan mengandungi syabu seberat 690.80 gram ditemui dalam begnya. � Bernama

Dia mendakwa beg itu dibeli rakannya, seorang warga Iran untuk diisi baju panasnya dan beg itu diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum berlepas ke Tokyo.

Raja Munirah pergi ke Tokyo untuk menghadiri temu duga bagi jawatan pegawai perhubungan awam.

Dia sedang menjalani hukuman di pusat tahanan Tokyo di Kosuge. - BH, Bernama

No comments: